Mah Sing dan Fave tawar bayaran yuran tempahan tanpa tunai menerusi FavePay
Pengarah Kumpulan Strategi dan Operasi Mah Sing, Rachel Leong berkata, kerjasama dengan Fave adalah bagi menyediakan kemudahan pembayaran pendahuluan untuk mana-mana projek Mah Sing di seluruh negara.
Katanya, pembeli yang menggunakan FavePay juga bakal menikmati ganjaran menerusi Mata BIG AirAsia.
"Kerjasama dengan Fave adalah sebahagian inisiatif pendigitalan Mah Sing ke arah pengurusan hartanah yang lebih cekap dalam usaha memenuhi kehendak pelanggan dan penyelesaian kepada bayaran tanpa tunai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelasnya, antara projek Mah Sing yang terlibat termasuklah M Centura di Sentul, Sensory Residence@Southville City, Cerrado@Southville City, Savanna Executive Suites@Southville City, Savanna Lifestyle Shop dan Boulevard Shop@Southville City di Kuala Lumpur.
Projek lain terletak di Pulau Pinang adalah M Vista, Southbay Plaza, The Loft@Southbay City, dan Ferringhi Residence 2C.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama Fave, Chen Chow Yeoh berkata, kerjasama itu adalah langkah ke arah menjadikan Malaysia tanpa tunai.
"Melalui aplikasi Fave, pengguna bukan sahaja boleh membayar makan di restoran atau membeli-belah tanpa tunai, bahkan membayar yuran tempahan untuk pembelian rumah baharu dengan hanya mengimbas kod QR,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!