Taktikal Brentford buat Liverpool terciduk

Kemenangan Brentford ke atas Liverpool menyaksikan The Bees mengumpul 26 mata selepas mengharungi 18 perlawanan. - Foto Agensi
Kemenangan Brentford ke atas Liverpool menyaksikan The Bees mengumpul 26 mata selepas mengharungi 18 perlawanan. - Foto Agensi
A
A
A

BRENTFORD melakar kejutan terbaru dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Liverpool 3-1 di Stadium Komuniti Gtech pada Selasa.

Tiga mata diraih The Bees kendalian Thomas Frank itu sekali gus menamatkan rentak kemenangan empat perlawanan berturut-turut skuad Jurgen Klopp sebelum ini.

Kekalahan keempat selepas mengharungi 17 perlawanan itu juga menyaksikan kelab Merseyside tersebut semakin menyisihkan diri dari kelompok empat teratas.

Tuan rumah terlebih dulu di depan hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate pada minit ke-19' sebelum Yoane Wissa menggandakan kelebihan sebelum separuh masa selepas pasukannya dibatalkan dua gol hasil keputusan video bantuan pengadil (VAR).

Liverpool kembali bernafas apabila Alex Oxlade-Chamberlain menanduk masuk hantaran lintang Trent Alexander Arnold pada minit ke-50'.

Namun kedudukan itu tidak kekal apabila Bryan Mbeumo meledak jaringan ketiga untuk Brentford pada minit ke-84 sekali gus mata ke-26 selepas mengharungi 18 perlawanan.

Kemenangan Brentford itu menambah siri kemenangan mengejut kelab tersebut sebelum ini yang menewaskan Manchester United 4-0 di tempat sendiri pada Ogos diikuti kemenangan 2-1 ke atas penyandang juara Manchester City pada November, membawa Brentford naik ke tempat ketujuh.

Sementara itu, Liverpool pula berada di tempat keenam dengan 28 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod Brentford kehilangan penjaring terbanyak Ivan Toney kerana kecederaan, namun berjaya memanfaatkan kealpaan pertahanan Liverpool.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!