[VIDEO] Wisma Jakel terbakar lagi
SHAH ALAM - Sebuah bilik simpanan kain langsir di bangunan Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, terbakar pada tengah malam Isnin.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah malam.
Menurutnya, seramai 43 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Kota Anggerik, Puchong, Damansara, Sungai Pinang, Petaling Jaya dan Kota Raja dikejarkan ke lokasi.
Kebakaran melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 18 x 24 meter persegi di tingkat tiga bangunan tersebut.
"Kebakaran berjaya dikawal dari merebak pada jam 1.45 pagi sebelum api berjaya dipadam pada jam 3.07 pagi," katanya pada Selasa.
Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang kebakaran tersebut.
Ini merupakan kebakaran kedua selepas Wisma Jakel musnah 80 peratus pada 1 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!