Perlukah kereta kabel Bukit Bendera?

Dua minggu lalu, kerajaan Pulau Pinang umumkan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bakal dilaksanakan. - Foto 123RF
Dua minggu lalu, kerajaan Pulau Pinang umumkan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bakal dilaksanakan. - Foto 123RF
A
A
A

KIRA-kira tiga tahun lagi, pengunjung Bukit Bendera boleh menikmati kereta kabel sebagai mod pengangkutan kedua di pusat peranginan tersebut di samping perkhidmatan kereta api funikular sedia ada.

Dikhabarkan, usaha oleh kerajaan Pulau Pinang itu adalah sebagai pengangkutan alternatif sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan kereta api funikular di situ.

Dua minggu lalu, kerajaan negeri mengumumkan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu bakal dilaksanakan syarikat Hartasuma Sdn Bhd, selepas syarikat tersebut berjaya dalam proses bidaan melalui Request For Proposal (RFP) yang dilaksanakan pada 13 Januari tahun lalu.

Projek tersebut dijangka akan mengambil tempoh masa 18 hingga 20 bulan sebelum dibuka kepada pengunjung.

Beberapa pihak kemudiannya menyatakan kebimbangan mereka apabila mendakwa, projek tersebut tidak perlu kerana akan memusnahkan alam sekitar selain memelihara ekosistem di kawasan tersebut serta sekitarnya.

Kata mereka, beberapa kejadian kerosakan kereta api funikular sebelum ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan negeri meneruskan projek tersebut tanpa menyiasat punca kerosakan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri juga mempunyai pendapat sendiri yang mana mereka akan sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan bukannya hanya melihat kepada keuntungan semata-mata.

Malah, pihak terbabit dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menutup perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera berusia hampir 100 tahun yang sering kali mengalami kerosakan berterusan.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, pada cuti umum Krismas lalu, sekali lagi kereta api funikular Bukit Bendera ‘buat perangai’ apabila lebih 1,000 penumpang terkandas selama dua jam 45 minit menyebabkan ramai pengunjung pusat peranginan itu mengeluh.

Mungkin ini yang menyebabkan kerajaan negeri dan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) bimbang kerana saban tahun, pengunjung ke Bukit Bendera kian meningkat dengan jumlah pengunjung tahunan 1.3 hingga 1.8 juta orang.

Jajaran dan kesesuaian lokasi projek kereta kabel telah diambil kira oleh Jawatankuasa Penilaian dengan tapak jajaran laluan paling sesuai iaitu berhampiran Taman Botani.

Usaha alternatif tersebut juga diharap dapat membantu kelancaran trafik terutamanya semasa musim puncak selain mod pengangkutan yang lebih hijau itu akan meningkatkan lagi pengalaman pelancongan dan menyumbang kepada sosioekonomi kawasan sekitar yang akan menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan.

Walaupun apa juga alasan diberikan, beberapa pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar, antaranya Sahabat Alam Sekitar (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tetap membantah projek tersebut.

Bukan baru-baru ini saja mereka membantah, malah sejak kerajaan negeri menyatakan hasratnya untuk mewujudkan perkhidmatan kereta kabel di kawasan peranginan itu, mereka sudah membantah. Kalau tidak silap, sejak Januari 2020.

Isu kereta kabel Bukit Bendera bagaimanapun ‘senyap’ sekejap susulan penularan wabak Covid-19.

SAM dan CAP berterusan menggesa kerajaan negeri tidak meneruskan cadangan projek kereta kabel Bukit Bendera dengan memberi cadangan agar kerja penyelenggaraan perkhidmatan kereta api funikular perlu dilakukan lebih kerap berbanding pada waktu ini iaitu sekali dalam tempoh setahun.

Kedua-dua NGO tersebut tetap dengan pendirian mereka tidak menyokong cadangan projek itu memandangkan ia didakwa menjejaskan ekosistem sensitif di kawasan bukit dan Taman Botani.

Dakwa mereka, kereta kabel dilihat tidak mesra alam terutamanya bagi bukit dan taman sekitar selepas lapan hingga 10 tiang pilon diperlukan untuk menyokong rangkaian kereta kabel yang menghubungkan stesen berdekatan Kelab Menembak Pulau Pinang di Taman Botani ke puncak bukit.

Mereka juga mendakwa, selain impak terhadap alam sekitar, projek itu juga akan memburukkan lagi kesesakan di kawasan Taman Botani dan Bukit Bendera.

Terdapat juga orang awam yang senada dengan SAM dan CAP dalam isu tersebut apabila mendakwa, cadangan untuk membina kereta kabel itu adalah satu projek yang membazir wang dan boleh menjejaskan usaha menjamin kemampanan alam sekitar serta memelihara aset warisan di situ.

*Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Pulau Pinang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!