Pemandu, penumpang cedera bas ekspres terbabas
IPOH - [KEMAS KINI] Dua individu cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang terbabas di KM292.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi Selasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit pada jam 5.41 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng ke lokasi.
Menurutnya, ketika di lokasi kejadian, anggota mendapati bas ekspres berkenaan terbabas di bahu jalan dan hanya terdapat tiga individu termasuk pemandu bas berada di dalam kenderaan terbabit.
Dua mangsa iaitu seorang lelaki yang juga pemandu bas dan seorang penumpang wanita mengalami kecederaan manakala seorang lagi penumpang lelaki tidak mengalami kecederaan.
"Anggota bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah akibat kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, mangsa yang terselamat meneruskan perjalanan dengan menaiki kenderaan lain.
Jelasnya, operasi menyelamat tersebut tamat pada jam 7.20 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!