SOP pengembara China diharap mampu lindungi rakyat Malaysia

Ramai pihak mendesak kerajaan supaya menyekat pengembara China masuk ke negara ini. - Gambar hiasan
Ramai pihak mendesak kerajaan supaya menyekat pengembara China masuk ke negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini hari ketiga tahun 2023, ramai pihak yang tampil menyuarakan kebimbangan dengan kemasukan pengembara dari China ke negara ini susulan keputusan kerajaan negara tanah besar itu membuka sempadan.

Lebih membimbangkan, dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 dikesan telah berada di Malaysia.

Namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi jaminan untuk meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan wabak tersebut serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes tersebut.

Kenyataan KKM sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat negara ini, namun masih berharap agar langkah pencegahan dapat dilaksanakan secara proaktif agar penularan kes import dapat dikurangkan.

Ketika banyak pihak sedang mendesak kerajaan supaya menyekat pengembara China masuk ke negara ini, pihak industri pelancongan pula melihat gesaan tersebut sebagai tidak rasional.

Justeru Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta semua pihak berhenti dalam memberikan spekulasi berlebihan dan melihat situasi berkenaan dengan lebih meluas.

Ini kerana pada hemat MATTA, kerajaan sejak awal 2022 telah mempunyai persediaan rapi dalam menghadapi kemasukan luar pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

Begitu juga Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) yang turut mengesyorkan langkah-langkah proaktif pengurusan kemasukan pelancong China agar ekonomi dan industri pelancongan Malaysia tidak terjejas.

Artikel Berkaitan:

Walau apa pun peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diperkenalkan kerajaan terhadap pengembara China, diharapkan penularan varian baharu Covid-19 dapat dibendung dan Malaysia terus dilindungi.

Rakyat Malaysia tidak sanggup berdepan dengan gelombang lebih teruk yang membawa kepada kebarangkalian sekatan pergerakan, apatah lagi ketika ekonomi negara sudah mula kembali pulih seperti sedia kala.

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!