Tiga Kanak-kanak hidap masalah jantung perlukan RM225,000

Nur Mikayla, Darsinidevi, Zi Tong
Nur Mikayla, Darsinidevi, Zi Tong
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiga kanak-kanak perempuan yang menghadapi masalah jantung sejak dilahirkan memerlukan sumbangan RM225,000 bagi menampung kos pembedahan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, Seng Zi Tong, 3 ; Nur Mikayla Muhammad Naidi dan P Darsinidevi yang masing-masing berusia 1 tahun memerlukan pembedahan segera berikutan keadaan kesihatan yang semakin merosot ketika ini.

Menurutnya, Zi Tong dilahirkan di Hospital Ipoh disahkan menghidapi jantung berlubang namun doktor tidak melakukan pembedahan terhadapnya disebabkan kebiasaan lubang berkenaan akan tertutup apabila beransur hari.

"Ketika berusia 6 bulan, dua lubang kecil di jantungnya didapati beransur-ansur pulih tetapi ketika Zi Tong berusia dua tahun, doktor mengesahkan lubang terbabit tidak pulih sepenuhnya dan kemungkinan penyembuhan automatik menjadi tipis.

"Pemeriksaan lanjut dibuat, doktor mendapati masih ada lubang kecil di jantung Zi Tong berdekatan dengan injap dan pembedahan segera perlu dilakukan bagi mengelak lubang kecil itu terus membesar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menceritakan masalah yang dihadapi Nur Mikayla pula, Sui Hai berkata, kanak-kanak berasal dari Alor Setar itu telah menjalani dua pembedahan membaiki jantung.

Jelasnya, selepas menghidap Covid-19, kandungan oksigen dalam badannya menurun dengan mendadak dan dia memerlukan pembedahan ketiga untuk menyelamatkan nyawanya.

"Pada awal Disember lalu keadaan kesihatan kanak-kanak itu semakin merosot. Selain jangkitan kuman, oksigen dalam badannya juga turun mendadak selepas dimasukkan ke hospital hampir sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Nur Mikayla kini bergantung pada bantuan pernafasan malah selepas pemeriksaan doktor mendapati stent jantung yang dipasang menyekat saluran darah sekali gus menyebabkan darah tidak dapat membekalkan oksigen dan keadaan agak kritikal," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Darsinidevi dari Bedong pula disahkan mengalami pelbagai kecacatan jantung yang sangat berisiko dan boleh membawa maut.

Beliau berkata, selepas dilahirkan bayi itu terus dihantar ke unit rawatan rapi akibat sesak nafas malah sehingga kini dia masih bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

"Darsinidevi didapati menghidap penyakit jantung kongenital yang teruk, termasuk 'tricuspid atresia', 'transposition of the great arteries (TGA)', 'ventricular septal defect (VSD)', kecacatan septum atrium (ASD), hipoplasia ventrikel kanan (RV Hipoplastik).

"Semasa rawatan susulan beberapa hari lalu, doktor memberitahu kanak-kanak itu memerlukan pembedahan, jika tidak, Darsinidevi tidak akan dapat membesar," katanya.

Sui Hau berkata, ibu bapa ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mampu untuk menampung kos pembedahan yang diperlukan dan memohon pihaknya untuk membantu mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menderma melalui laman sesawang One Hope Charity iaitu www.onehopecharity.org atau boleh salurkan terus kepada akaun bank One Hope Charity di Public Bank(3193433435).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!