Ribuan peminat beri penghormatan terakhir kepada Pele

Ribuan peminat berhimpun di bandar Santos, Brazil untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak, Pele. - Foto Xinhua
Ribuan peminat berhimpun di bandar Santos, Brazil untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak, Pele. - Foto Xinhua
A
A
A

RIBUAN peminat berhimpun di bandar Santos, Brazil untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak, Edson Arantes do Nascimento atau lebih dikenali sebagai Pele yang meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat kanser kolon.

Jasadnya ditempatkan di Stadium Urbano Caldira bagi membolehkan peminat memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir ialah presiden FIFA Gianni Infantino dan ketua konfederasi bola sepak CONMEBOL Amerika Selatan, Alejandro Dominguez, lapor Xinhua.

Infantino bercadang untuk mengesyorkan semua persekutuan bola sepak di seluruh dunia menamakan stadium sempena nama Pele yang pernah merangkul juara Piala Dunia FIFA sebanyak tiga kali (1958, 1962 dan 1970) bersama dengan pasukan Brazil.

"Kami akan meminta semua persekutuan di seluruh dunia menamakan sebuah stadium sempena nama Pele. Saya fikir anak muda, generasi akan datang perlu mengenali dan mengingati siapa Pele dan kegembiraan yang dibawanya kepada dunia," kata Infantino.

Pele yang meninggal dunia Khamis lalu akan disemadikan di perkuburan persendirian di Santos, sebuah bandar pantai yang terletak 60 kilometer dari Sao Paulo.

Kerajaan Brazil bercadang menamakan semula pelabuhan terbesar di Brazil dan Amerika Latin, Pelabuhan Santos sempena nama legenda bola sepak itu, kata gabenor negeri Sao Paulo, Tarcisio de Freitas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!