United buru penyerang berkualiti
MANCHESTER United tidak akan membazirkan duit dengan menandatangani pemain yang salah pada jendela perpindahan yang kembali dibuka bulan ini.
Pengendali United, Erik ten Hag berkata, dia hanya akan membawa masuk penyerang berkualiti ke Old Trafford bagi menambah sengat di jentera serangan The Red Devils.
“Saya fikir kami mempunyai pasukan yang bagus apabila semua pemain boleh beraksi baik. Tetapi dengan banyak perlawanan perlu dihadapi, saya rasa terdapat keperluan mencari penyerang baharu.
“Apa pun anda memerlukan penyerang yang boleh memberikan impak. Jika tidak, ia hanya membazirkan wang apabila anda tidak memperkuatkan skuad, ia tidak membantu anda,” katanya.
Dengan pemain sayap England, Jadon Sancho masih dalam program pemulihan untuk kembali cergas sepenuhnya, United dilihat benar-benar memerlukan sengat di bahagian serangan.
Malah, Ten Hag tidak akan membenarkan penyerang lain meninggalkan Old Trafford secara pinjaman bulan ini termasuk Anthony Elanga yang menarik minat Everton.
Sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2022 di Qatar bulan lalu, United telah membatalkan kontrak kapten Portugal, Cristiano Ronaldo - penjaring terbanyak mereka musim lalu.
Minggu lalu, United gagal mendapatkan khidmat penyerang PSV Eindhoven, Cody Gakpo yang membuat keputusan menyertai musuh tradisi mereka, Liverpool.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!