UMNO: Jawatan Presiden, Timbalan tak perlu dipertandingkan
JOHOR BAHRU - Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk mengukuhkan parti selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hanya empat kali pemilihan Presiden berlaku sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun UMNO.
Jelasnya, pemilihan itu membabitkan Tunku Abdul Rahman dan Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn dan Sulaiman Palestin (1978); Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Ku Li) (1987) serta Ahmad Zahid dan empat pencabar (2018).
"Sekali lagi saya tegaskan, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tak dipertandingkan demi pengukuhan parti, perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap UMNO.
"Kalau nak buat pertandingan pun, kita nak angkat siapa jadi Presiden, Timbalan Presiden baharu. Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas UMNO kalah pada PRU14 dulu atau kita nak bergantung kepada orang yang gagal jadi Perdana Menteri Kesembilan atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah UMNO kepada parti lawan.
"UMNO nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu gantikan tempat Presiden ketika berceramah di pentas kempen PRU15 lepas tapi akhirnya kalah di negeri liberal. Sudahlah dia sendiri ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang pula bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Nur Jazlan turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terpedaya dengan sesetengah ahli Parlimen yang menang kerusi di bawah tiket parti namun didakwa khianat dan bersekongkol dengan pihak lawan.
Malah katanya, ahli Parlimen berkenaan diketahui sudah menggerakkan usaha mengangkat diri mahu menjadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu lagi.
"Saya nak ingatkan ahli UMNO supaya tak terpedaya dengan sesetengah ahli Parlimen parti yang menang di bawah tiket UMNO namun selepas menang melupakan parti, macam kacang lupakan kulit. Bukan sahaja ada yang melompat malah lebih teruk, khianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
"Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini.
"Lagipun dengan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, ia adalah platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan UMNO membela rakyat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!