Polis terima tujuh laporan kes kebakaran Wisma Jakel
SHAH ALAM - Polis menerima tujuh laporan polis berkaitan kes kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, termasuk melibatkan kejadian terbaharu tengah malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua laporan itu diperoleh pihaknya sejak kebakaran awal syarikat tekstil berkenaan pada Ahad.
"Tujuh laporan itu masing-masing tiga daripada pihak Jakel, tiga peniaga premis berdekatan dan satu orang awam setakat ini.
"Namun, tiada laporan berhubung spekulasi dan unsur fitnah di media sosial diterima polis," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
Mohd Iqbal berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan penuh berkenaan kelak termasuklah sekiranya wujud perbuatan individu membakar atau unsur jenayah lain.
"Polis turut menempatkan anggota polis bagi menjalankan pemantauan selain Balai Polis Bergerak di lokasi terbabit," ujarnya
Tegas beliau, orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata, semua premis termasuk dua bank di kawasan berkenaan diarah tutup sepenuhnya.
"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengikut arahan dikeluarkan bomba yang masih menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian. Semua premis di kawasan lain bagaimanapun masih beroperasi setakat ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!