'Saya tak henti menangis'

Choo Yin (kanan) bersama-sama dengan suami dan dua anaknya yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor. Gambar kecil: Su Lee
Choo Yin (kanan) bersama-sama dengan suami dan dua anaknya yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor. Gambar kecil: Su Lee
A
A
A

SABAK BERNAM - Ibu kepada mendiang, Gain Choo Yin, 35, yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor mengakui sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini suram berikutan kehilangan empat insan tersayang dalam sekelip mata.

Tragedi 16 Disember tahun lalu itu meragut nyawa Choo Yin, suaminya, Wong Kim Yap, 34, dan dua anak mereka iaitu Wong Hao Yee, 6, dan Wong Zi Hang berusia setahun yang ditemui tertimbus dalam kejadian berkenaan.

Menurut Beh Su Lee, 59, sambutan Tahun Baharu kali ini amat berbeza apabila anak perempuannya, menantu dan dua cucu itu tidak akan 'kembali' buat selamanya.

"Saya tidak menyambut perayaan ini kerana masih bersedih dengan kehilangan anak sulung (Choo Yin) yang menetap di sini sejak kelahiran anak pertamanya (Hao Yee)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara Sabak Bernam di sini pada Selasa.

Su Lee berkata, anak perempuannya itu tinggal bersamanya, manakala menantunya Kim Yap yang bekerja sebagai tukang masak menetap di Kuala Lumpur.

"Setiap minggu menantu pulang ke rumah saya dan kali terakhir mereka sekeluarga bercuti di Kuala Lumpur sebelum mengikuti perkhemahan di Batang Kali," jelasnya.

Katanya, perasaannya tidak tenang sebaik salah seorang anak memberitahu Choo Yin kemungkinan mengikuti perkhemahan tersebut selepas mengetahuinya melalui laporan media dan Facebook.

"Saya cuba hubungi dan hantar WhatsApp kepada Choo Yin tapi tidak berbalas dan hati saya mula mengesyaki sesuatu sebelum menerima panggilan telefon daripada majikan menantu memaklumkan anak saya berada di tapak perkhemahan.

Artikel Berkaitan:

"Luluh hati saya sebaik mengetahui mereka antara mangsa terkorban dan sejak itu saya tidak berhenti menangis," katanya.

Ujarnya, sehingga kini dia sering dihantui perasaan sedih selepas kehilangan keempat-empat mereka secara serentak dalam kejadian itu.

Tambahnya, kehilangan empat beranak itu memberi kesan mendalam kepada dirinya lebih-lebih lagi menjaga dua cucunya itu sejak dilahirkan.

Su Lee (lima dari kiri) menerima sumbangan daripada Perkeso selepas menziarahinya di kediamannya di Taman Mutiara Sabak Bernam di sini pada Rabu.
Su Lee (lima dari kiri) menerima sumbangan daripada Perkeso selepas menziarahinya di kediamannya di Taman Mutiara Sabak Bernam di sini pada Rabu.

"Jika teringatkan mereka saya jadi sebak, malah selera makan saya hilang di samping susah hendak melelapkan mata mengenangkan peristiwa menimpa kami sekeluarga.

"Saya masih terbayang-bayang dua cucu saya bermain di laman rumah dan itu membuatkan saya tidak kuat kerana terlalu sedih," jelasnya.

Ujar ibu tiga anak itu, seluruh jiwanya kini kosong lebih-lebih lagi dia rapat dengan Choo Yin yang sering memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepadanya.

"Choo Yin anak yang baik dan mendengar kata, malah dia tempat saya mengadu dan bertukar pandangan.

"Memang saya tak boleh lupa dengan kebaikan mendiang yang banyak susah dan senang bersama saya hingga dia pergi dulu meninggalkan saya dan suami," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tanjong Karang, Roseman Muhamad Damanhuri berkata, waris keluarga kepada mendiang Choo Yin layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 secara sekali beri dan Pencen Penakat berjumlah RM295.24 setiap bulan.

Roseman berkata, mendiang Choo Yin layak menerima pencen penakat selepas memenuhi syarat kelayakan penuh apabila mula mencarum dengan Perkeso pada tahun 2010.

"Bagaimanapun, mendiang tidak lagi bekerja sejak tahun 2015, namun hasil semakan mendapati beliau layak menerima bantuan berkenaan," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!