Pahang akan selesaikan isu rumah retak secara sistematik

Johari meninjau keretakan struktur binaan rumah di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur pada Selasa.
Johari meninjau keretakan struktur binaan rumah di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menyelesaikan isu kira-kira 30 rumah yang mengalami keretakan struktur binaannya di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur yang dipercayai berpunca daripada sebuah projek pembetungan berhampiran kawasan perumahan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Johari Harun berkata, penyelesaian secara sistematik akan diambil dengan melibatkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), pembeli, pemaju perumahan termasuk arkitek, dan jurutera profesional yang terlibat dalam projek perumahan terbabit.

"MBK perlu membantu dan mengenal pasti major kerosakan setiap unit rumah yang terlibat dengan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh.

"Bancian setiap unit rumah yang mengalami kerosakan akan dilakukan oleh MBK sebagai mewakili Kerajaan Pahang bersama pembeli, pemaju perumahan dan pihak berkaitan dalam tempoh seminggu.

"Selepas menilai kerosakan, kata putus akan dibuat bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Selain itu, saya juga akan mengadakan perbincangan dengan pelaksanaan projek pembetungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pembeli di taman perumahan itu pada Selasa.

Keadaan keretakan struktur binaan di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur.
Keadaan keretakan struktur binaan di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur.

Pada 6 November tahun lalu, mantan Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendedahkan rungutan penduduk di taman perumahan itu yang kecewa apabila rumah yang mereka beli mengalami kerosakan struktur binaan rumah yang serius.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Johari mempersoal bagaimana projek perumahan terbabit boleh mendapat kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) pada April tahun lalu.

"Kerosakan major struktur binaan menjadi persoalan dan CCC pula dilulus dan ini persoalan yang besar. Saya difahamkan CCC dilulus sedangkan sebelum itu penduduk mendakwa sudah ada keretakan.

"Daripada keretakan kecil, akhirnya menjadi besar dan saya ingin mengetahui mengapa perkara itu boleh berlaku. Justeru, saya mahu berjumpa dengan arkitek dan ingin bertanya mengenai perkara ini (kelulusan CCC)," ujar beliau.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan pemaju perumahan bersedia membaiki kerosakan rumah yang terlibat, namun selepas projek pembetungan dihentikan.

"Saya akan membantu menyelesaikan isu ini dengan sebaiknya demi kebajikan dan hak pembeli terbela serta memberikan perhatian secara berjadual sehingga ia dapat selesai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!