Ahli perniagaan Labuan dipelawa melabur di Kalimatan
KONSULAT Jenderal Indonesia di Kota Kinabalu mempelawa pelabur dan usahawan dari Labuan untuk meneroka peluang perniagaan di Kalimantan, yang bakal menjadi ibu kota baharu Indonesia pada masa akan datang.
Konsul Jenderal Rafail Walangitan berkata, komuniti perniagaan dari Sabah dan Labuan boleh merebut peluang perniagaan dalam beberapa sektor perindustrian di Kalimantan seperti kuasa hidro, minyak dan gas, hutan, hutan, bio tenaga, perikanan, pertanian dan minyak sawit.
Ahli perniagaan Malaysia di Sabah dan Labuan juga boleh meneroka dalam bidang hartanah, hotel, runcit dan infrastruktur, katanya.
"Hubungan yang telah lama terjalin dengan penduduk di Sabah dan Labuan terus mengukuh berikutan persamaan dalam budaya dan bahasa.
"Kami percaya kedekatan antara Kalimantan, Sabah dan Labuan memberi prospek yang baik bagi hubungan perniagaan pada masa depan,” katanya pada satu majlis sempena perayaan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Cina Labuan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, jalan hubungan yang terhad dan Lebuh Raya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan boleh menjadi halangan bagi pelabur untuk datang ke Kalimantan.
Kalimantan dibahagikan kepada lima wilayah - Kalimantan Utara, Kalimantan Timur, Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat.
Kerajaan negeri Sabah pada 2021 mencadangkan pembinaan jalan hubungan antara Sabah dan Kalimantan kerana ia berpotensi untuk merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri itu dengan manfaat yang melimpah ke Labuan.
Pada Ogos 2019, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, negara itu akan memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke tapak yang terletak di wilayah Kalimantan Timur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!