Buku takziah digital Pele kini tersedia untuk rakyat Malaysia
BUKU ucapan takziah digital kini disediakan untuk peminat bola sepak Malaysia memberikan penghormatan kepada mendiang legenda bola sepak Brazil, Pele.
Menurut kenyataan Kedutaan Brazil di Malaysia, buku ucapan takziah itu dibuka mulai Selasa (3 Januari) hingga Sabtu (7 Januari) dan sebarang ucapan takziah hendaklah dihantar ke alamat e-mel: brasemb.lumpur@itamaraty.gov.br.
Pele, satu-satunya pemenang Piala Dunia tiga kali dalam sejarah, meninggal dunia pada Khamis pada usia 82 tahun selepas sekian lama bertarung dengan kanser.
Raja bola sepak Brazil itu menjaringkan ratusan gol sepanjang kariernya.
Gerakannya yang lincah serta kelajuannya membantu merevolusikan permainan dan meningkatkan populariti bola sepak di seluruh dunia.
Pada 2000, badan induk bola sepak dunia, FIFA, memilihnya sebagai pemain abad ini bersama-sama bintang Argentina Diego Maradona yang meninggal dunia pada 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!