PAU 2022: Jumlah penyertaan perwakilan, pemerhati bertambah
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung minggu hadapan, memperlihatkan jumlah perwakilan dan pemerhati yang bertambah apabila ia turut melibatkan ketua penerangan bahagian dan sayap parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri yang mahu dijadikan sebagai perwakilan secara automatik itu supaya mereka dapat beri penjelasan kepada ahli UMNO di kawasan masing-masing mengenai ucapan dasar presiden, perwakilan negeri dan sayap.
"Itu antara rasional kenapa ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri, akan menjadi automatik untuk perhimpunan agung seterusnya,” katanya pada sidang media berkenaan perhimpunan itu di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad berkata, pada perhimpunan pada Jumaat (13 Januari) dan Sabtu (14 Januari) akan dihadiri 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati, yang merupakan ketua penerangan bahagian, menjadikan jumlahnya 2,822 orang.
Beliau berkata selain itu, perhimpunan Wanita UMNO melibatkan 950 orang dan 167 ketua penerangan, sementara perhimpunan Pemuda UMNO membabitkan 967 orang serta 179 ketua penerangan, manakala perhimpunan Puteri UMNO pula 958 orang, 155 ketua penerangan.
Sebelum ini Ahmad dilaporkan berkata, pindaan yang akan dibawa pada perhimpunan agung khas pada 13 Januari itu, antaranya melibatkan Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya, akan gugur keahlian dengan sendirinya, untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti.
Sementara perkara lain yang akan dipinda ialah Perlembagaan UMNO supaya meletakkan ketua penerangan bahagian sebagai mereka yang automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun, melibatkan pindaan pada Fasal 8.4.
Beliau berkata, dengan pindaan berkenaan ketua penerangan bahagian akan secara automatik menjadi perwakilan untuk perhimpunan tahunan itu, manakala ketua penerangan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian juga secara automatik menjadi perwakilan kepada perhimpunan tahunan sayap.
Sementara itu dalam sidang media hari ini, Ahmad berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2022 akan hanya tertumpu kepada ucapan dasar Presiden, yang mungkin akan menyentuh hal berkaitan pendidikan, agama, ekonomi politik dan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbahasan perwakilan dalam perhimpunan kali ini sama ada disiarkan secara langsung atau rakaman akan diputuskan dalam Mesyuarat Bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 5 Januari, sambil menjelaskan sebelum ini diadakan secara rakaman bagi menapis sebarang kandungan yang menyentuh sensitiviti.
Selain itu, Ahmad turut memaklumkan, perhimpunan agung UMNO akan dimeriahkan semula dengan penyertaan 95 gerai yang akan beroperasi di tingkat dua Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini dari pagi hingga malam sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember 2022, telah ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!