Wanita maut tunggang motosikal lawan arus
KOTA BHARU - Tindakan seorang wanita dipercayai menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 secara melawan arus membawa padah apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berhampiran jambatan Bunut Payong di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, mangsa Suriani Che Mohamal, 40, maut di lokasi akibat kecederaan parah selepas didakwa tidak memakai topi keledar.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Wakaf Che Yeh ke Bunut Payong melalui kawasan bahu jalan dengan melawan arus.
"Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Kia Spectra yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun berada di laluan Bunut Payong ke Wakaf Che Yeh bergerak rapat pada bahu jalan sebelah laluan kiri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, disebabkan keadaan jalan gelap dan tidak mempunyai lampu jalan serta jarak terlalu dekat menyebabkan kereta terbabit gagal mengelak sebelum merempuh motosikal mangsa.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!