Elon Musk makin miskin?

Saham Tesla dilaporkan menjunam sebanyak 65 peratus pada tahun lalu. - Foto Agensi
Saham Tesla dilaporkan menjunam sebanyak 65 peratus pada tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

SAN FRANCISCO - Elon Musk yang pernah bergelar individu terkaya di dunia dilaporkan telah ‘mencipta’ rekod baharu yang bukan merupakan satu pencapaian membanggakan.

Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, pengasas Tesla dan bos Twitter itu menjadi individu pertama dalam sejarah kehilangan AS$200 bilion (RM878 bilion) nilai bersih kekayaannya.

Musk, 51, yang meraih nilai bersih AS$340 bilion (RM1.5 trilion) dan mencapai kemuncak pada November 2021 menyaksikan kekayaannya merudum kepada AS$137 bilion (RM603 bilion) setelah saham Tesla menjunam sebanyak 65 peratus pada tahun lalu.

Beberapa penganalisis melihat ia sebagai tahun terburuk kepada pembuat kereta elektrik berkenaan.

Penurunan itu termasuk kejatuhan sebanyak 11 peratus selepas Wall Street Journal melaporkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 yang memaksa Tesla menghentikan sementara pengeluaran di Shanghai.

Sebelum ini, Musk menjadi individu kedua pernah meraih nilai kekayaan berjumlah lebih AS$200 bilion selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos.

Pada bulan lalu, beliau kehilangan gelaran Individu Terkaya Di Dunia yang kini dipegang Ketua Eksekutif kumpulan barangan mewah LVMH, Bernard Arnault setelah pengambilalihan ‘huru-hara’ Twitter yang turut mengundang pelbagai reaksi kurang senang terutamanya kakitangan syarikat media sosial itu sendiri. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!