Tze Yong tekad mara lebih jauh di Terbuka Malaysia
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, enggan berpuas hati walaupun berada kelompok 30 terbaik dunia.
Sebaliknya, pemain ranking ke-27 dunia itu menyasarkan meningkatkan prestasi sekali gus mencapai kedudukan ranking yang lebih tinggi pada tahun ini.
Malah dia menyifatkan Kejohanan Terbuka Malaysia 2023, kejohanan Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), merupakan platform terbaik untuk mendapat pendedahan bersaing dengan kelompok pemain terbaik dunia.
“Pada Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Januari nanti, saya akan cuba untuk mara lebih jauh walaupun tiada sasaran khusus yang ditetapkan oleh barisan jurulatih setakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, pada Selasa
Beliau yang pertama kali beraksi di kejohanan berstatus Super 1000 itu, dijadual menentang pemain Ireland, Nhat Nguyen, pada perlawanan awal di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Selain Tze Yong, Terbuka Malaysia itu turut menampilkan seorang lagi wakil bagi acara perseorangan lelaki membabitkan jaguh perseorangan profesional, Lee Zii Jia.
Zii Jia, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, akan menentang pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka, pada perlawanan pembukaan 10 Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!