Co-opbank Pertama bantu koperasi di Malaysia kembang perniagaan
Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, dana itu diberikan secara berperingkat sehingga 2020 dalam usaha menyediakan peluang pembiayaan kepada sektor koperasi untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Dana ini sejajar dengan sasaran CBP untuk meningkatkan portfolio pembiayaan bagi sektor koperasi kepada 30 peratus daripada keseluruhan portfolio pembiayaan menjelang 2020.
“Dana ini juga akan disalurkan melalui enam produk pembiayaan yang diluluskan suruhanjaya iaitu Pembiayaan Hartanah-i, Pemfaktoran-i, Pembiayaan i-Kontrak, Pembiayaan Penyambung-i (bridging), Pembiayaan Berjangka-i dan Pembiayaan Kredit Berputar,” katanya pada majlis pelancaran Skim PSK: Membangun Bersama CBP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak.
Tambah Kamari Zaman, selain peluang mengembangkan perniagaan, Skim PSK juga bertindak sebagai cushion bagi menangani kekurangan modal pusingan untuk menyokong aktiviti perniagaan.
“Melalui skim ini ia dapat membantu menjana pendapatan koperasi di samping mewujudkan peluang perniagaan,” katanya.
Katanya, CBP akan menjelajah ke setiap negeri untuk menawarkan produk-produk pembiayaan kepada koperasi berpotensi.
Sementara itu, Nordin berharap kemudahan pembiayaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi di negara ini dalam usaha mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan sumbangan koperasi sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.
Pada 2018 CBP mencatat sejarah apabila merekod keuntungan sebanyak RM52.6 juta sejak penubuhannya 60 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!