Ahli politik jangan 'cepat sentap'
SHAH ALAM - Ahli-ahli politik seharusnya tidak terlalu 'cepat sentap' dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat ke atas mereka.
Pengamal Undang-Undang, Ahmad Nizam Hamid berkata, mereka seharusnya tidak melihat setiap kritikan yang dibuat itu diambil tindakan saman fitnah.
Bagaimanapun katanya, pihak yang mengeluarkan kenyataan atau kritikan itu juga perlu mempunyai had dan memastikan ia adalah benar.
"Perlu ada wacana yang sihat untuk membangunkan negara tetapi dengan had. Ertinya, tidak semuanya bebas.
"Dalam hal ini, kita cakap apa kita suka sehingga yang tidak betul itu keluar. Maksudnya ada had (dalam kritikan), jangan sampai menyebar luaskan fitnah," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar Harian bertajuk 'Saman: Elak Fitnah Atau...' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh manakala Ismail Adnan bertindak sebagai Moderator.
Tegas Ahmad Nizam, kebebasan bersuara dan mengkritik itu adalah sangat perlu dan beliau juga mempertahankan kedua-dua perkara berkenaan.
Menurutnya, jika mana-mana pihak meletakkan politik itu bebas mengkritik kepada semua tanpa adanya had, negara ini akan punah.
"Jadi, undang-undang berkaitan dengan fitnah itu mesti ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!