China mahu kuasai bulan?
WASHINGTON - 'China mungkin cuba untuk menguasai lokasi paling kaya sumber di permukaan bulan jika ia memenangi 'persaingan' dengan Amerika Syarikat (AS)'.
Amaran itu diberikan pentadbir Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Bill Nelson menerusi wawancara bersama Politico pada Ahad.
"Hal ini adalah fakta kerana kita sedang berada dalam perlumbaan ke angkasa lepas. Kita perlu sentiasa berhati-hati dengan muslihat China yang berselindung di sebalik penyelidikan saintifik seperti didakwa mereka.
"Siapa tahu Beijing nanti boleh berkata, dilarang masuk, kawasan kutub selatan di permukaan bulan ini adalah 'wilayah' kami. Jika anda tidak percaya lihat apa yang berlaku pada pertikaian multilateral di Laut China Selatan.
"Beijing sewenang-wenangnya membina pangkalan tentera di pulau buatan yang menjadi tuntutan banyak negara," katanya.
Pada 2019, China menjadi negara pertama yang melakukan pendaratan lembut di bahagian jauh bulan di bawah misi robotik, Chang'e 4.
Ia turut berjaya mengumpulkan sampel dan dibawa pulang ke bumi.
Sebelum ini, Beijing pernah menyuarakan hasrat untuk menempatkan manusia di bulan sebelum 2030 dan membina stesen penyelidikan saintifik di sana.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Pentadbiran Angkasa Kebangsaan China (CNSA) juga berjaya menghantar pengorbit dan kenderaan robotik ke planet Marikh selain melancarkan stesen angkasa di orbit bumi.
"Beijing sudah mencapai kemajuan yang besar dalam program angkasa sejak sedekad lalu. Tetapi, saya yakin NASA akan dapat mengejar mereka dan memenuhi matlamat untuk menghantar kru ke bulan pada 2024," kata Nelson lagi.
China telah beberapa kali menafikan tuduhan AS kononnya mereka mempunyai agenda licik di sebalik program angkasa malah jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian pernah menegaskan angkasa lepas bukan medan untuk 'bergusti', namun menjadi medan penting untuk kerjasama menang-menang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!