'Kadangkala majikan tidak faham keadaan kami'
GOLONGAN orang kurang upaya (OKU) antara kelompok masyarakat yang mempunyai potensi dan dinamik tersendiri.
Populasi OKU yang dianggarkan 15 peratus di negara ini sememangnya memerlukan sokongan secara inklusif terutama daripada kerajaan bagi membantu mereka menjadi lebih berdaya saing dalam pembangunan negara.
Namun, golongan itu dikatakan sukar mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik selain daripada kraf tangan atau refleksologi berikutan kurangnya kesedaran berhubung keupayaan mereka.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NOOR AINON MOHAMED YUSOF yang mendengar luahan dan hasrat OKU.
Cabaran paling besar golongan ini adalah mendapat peluang saksama dalam masyarakat.
Pandangan stereotaip dengan menganggap mereka sebagai menyusahkan menyebabkan majikan kurang berminat untuk mengambil pekerja orang kurang upaya (OKU).
Hairul Azhar Mahmud, 34, yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan kaki mengakui mempunyai halangan untuk bekerja di premis lain kerana tiada kemudahan mesra OKU.
“Saya pernah bekerja di sebuah premis makanan yang turut menyediakan penginapan. Hari pertama pekerjaan, saya kecewa apabila premis itu tidak menyediakan ramp untuk saya yang berkerusi roda ini.
“Akses untuk kami pergi kantin, parkir, tandas dan sebagainya juga terhad menyebabkan saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana persekitaran yang menyusahkan,” katanya ketika ditemui di Ipoh baru-baru ini.
Menurutnya, persaingan dengan insan normal lain menyebabkan dia kembali bekerja melipat sampul surat.
“Sejujurnya kami turut berdepan dengan diskriminasi gaji kerana keupayaan kami yang terhad. Perkara ini turut dilalui oleh rakan-rakan lain.
“Hendak bekerja di tempat lain, kami dianggap menyusahkan. Peluang kerja untuk golongan OKU ini tidaklah banyak, ramai rakan-rakan senasib dengan saya yang mahu bekerja,” katanya.
Bagi S Gurunathan, 52, yang menghidap penyakit polio (cacat kedua-dua kaki) sejak kecil, mengakui berminat untuk mencuba pelbagai kerja lain bagi menambah pendapatan.
Bapa kepada seorang anak itu kini melakukan dua kerja setiap hari untuk menampung kehidupan keluarga kecilnya.
“Pada waktu siang saya akan melipat sampul surat manakala sebelah malam saya bekerja sambilan di pasar malam sekitar Ipoh.
“Saya pernah cuba untuk bekerja di tempat lain tetapi kebanyakan tidak sesuai dengan diri saya,” katanya.
Dia yang pernah mewakili negara bagi acara maraton di Jepun pada tahun 1996 berpendapat bahawa setiap syarikat wajib menyediakan kemudahan OKU di premis mereka.
“Setakat ini, kemudahan disediakan agensi kerajaan mahupun bank memuaskan dan memudahkan ketika mahu berurusan.
“Agensi lain patut mengikuti langkah sama. Keperluan seperti ramp, handrail atau grab bar, laluan khas pejalan kaki dan permukaan laluan bertekstur sangat membantu,” katanya.
Nur Syaqeera Ahmad Razman, 32, merupakan OKU lembam memilih untuk terus kekal bekerja sebagai operator melipat sampul surat.
“Saya tidak mahu bekerja di tempat lain, susah untuk saya menyesuaikan diri. Biar sahaja saya bekerja di sini.
“Walaupun ruang kerja terhad, saya okey kerana ramai kawan-kawan. Saya segan berhadapan dengan orang luar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!