Kawal ketat semua pintu masuk negara

Dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan BF.7 sudah berjaya menyelinap masuk ke Malaysia. - Foto Bernama
Dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan BF.7 sudah berjaya menyelinap masuk ke Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

KECOH di media sosial dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan BF.7 sudah berjaya menyelinap masuk ke Malaysia.

Berita tersebut sudah tentu mengejutkan kerana sebahagian besar rakyat Malaysia masih belum hilang trauma kerana terpaksa hidup dalam pandemik, tiba-tiba dikhabarkan pula dengan berita kurang enak ini.

Apa yang semakin mengelirukan ialah berlakunya sedikit percanggahan pendapat terutamanya berkenaan subvarian BF.7.

Ada pensyarah perubatan mengatakan individu yang terdedah dengan subvarian Omicron BF.7 yang telah melanda China, Amerika Syarikat dan Eropah itu masih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 kerana belum ada imuniti terhadapnya.

Namun, ada pula pakar cuba menerapkan keyakinan bahawa jangkitan ini tidaklah seteruk mana dan memudaratkan kerana rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tahap imuniti yang baik.

Jadi, yang mana satu fakta yang tepat? Sama ada bahaya atau tidak, terlalu banyak pendapat mengelirukan sehingga rakyat susah membezakan yang mana boleh dipercayai atau sebaliknya.

Mujurlah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cakna dan sedar tentang kebimbangan orang ramai. Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya berkata, KKM berjanji untuk terus mengambil tindakan segera, antaranya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di semua pintu masuk negara.

Apa pun situasinya, tanggungjawab penting kerajaan ketika ini adalah wajib mengurangkan rasa gusar rakyat jelata.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Sinar Harian menerusi Instagram dan Twitter, jelas menunjukkan lebih 90 peratus responden risau jika gelombang Covid-19 kembali menular ke negara kita.

Ternyata ramai bekas pesakit masih tak dapat melupakan seksa dijangkiti Covid-19, terutama yang kehilangan ahli keluarga akibat virus berbahaya itu.

Selain menggesa orang ramai terutama golongan berisiko mendapatkan dos penggalak kedua, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan untuk mengenakan penguatkuasaan dan polisi paling ketat terhadap pelancong dari China.

Sementara itu, kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab ke atas kesihatan diri sendiri, mungkin elok kembali mempraktikkan SOP yang semakin dilupakan sebelum ini iaitu memakai pelitup muka ke mana-mana sahaja.

Jangan lupa, ‘kita masih jaga kita’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!