Isu libat kepentingan awam perlu diketengahkan
SHAH ALAM - Sebarang isu yang melibatkan kepentingan awam perlu dipersoal dan diketengahkan kepada umum walaupun ia melibatkan perkara sensitif dan kontroversi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na' Aman bagaimanapun berpandangan, pendekatan untuk mendedahkannya mungkin berbeza bagi setiap individu.
"Kami (pembangkang) tak kata kami lebih baik, tapi sudah tentu ada cara dan pendekatan kita yang berbeza dengan pihak sebelah sana (kerajaan).
"Bila mengkritik kerajaan, bukanlah semata-mata nak mencari salah tapi sudah tentu ada alternatif, hujah dan persoalannya.
"Bila kita bertanya, takkan ia boleh menjadi fitnah? Wajar perkara ini disantuni dengan bijaksana oleh pihak sebelah sana. Perkara sebegini, bagi saya biasa dalam politik dan Parlimen iaitu banyak soal jawab," katanya dalam Wacana Sinar siri 377 bertajuk ‘Saman: Elak fitnah atau...’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program kendalian hos, Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panel lain iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengamal Undang-undang, Ahmad Nizam Hamid.
Muhammad Faiz menambah, sebagai orang yang dikenali, ahli politik mempunyai tanggungjawab untuk mendidik pengundi apa yang benar dan tidak menokok tambah.
"Contohnya, kita tahu orang itu kesalahannya adalah kes yang bersangkutan dengan rasuah, jangan pula kita tokok tambah benda lain. Kadang-kadang, kita ni seronok bila pegang mikrofon dan bila bercakap, sudah 'tak khabar ingat'.
"Kita kena cakap berdasarkan fakta, bukan buat lawak kelakar. Sebab itu kena jadikannya budaya dan tidak melampaui batas.
"Jangan bercakap benda yang bukan berfakta. Sebagai orang Islam, kita kena bercakap benar kalau kita nak mendidik masyarakat buat pilihan yang betul, bernas, logik dan rasional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!