Tingkatkan daya saing serantau dengan 5G

A
A
A

Dron turut digunakan untuk menyemak inventori.
Dron turut digunakan untuk menyemak inventori.



Hampir 12 bulan telah berlalu sejak bermulanya pelancaran 5G di Malaysia. Saya teruja kerana kesalinghubungan mudah alih yang lebih pantas dan berdaya tahan bakal tersedia kepada 40 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini. Malah, liputan 5G dijangka mencecah 80 peratus menjelang 2024.

Langkah berani Malaysia dalam melancarkan rangkaian 5G di seluruh negara telah membuahkan hasil manis. Malaysia akan mencapai antara pelancaran 5G yang terpantas di dunia, sekali gus merealisasikan semua manfaat ekonomi digital dengan lebih pantas.

Pelancaran berterusan ini bukan sahaja tertumpu pada penyampaian pantas, tetapi juga ketersediaan, kemampuan kos, prestasi, pengalaman pelanggan, dan keselamatan. Kedua-dua spektrum jalur rendah dan jalur pertengahan telah disediakan bagi menyampaikan pengalaman pengguna yang bertaraf dunia melalui infrastruktur untuk memacu inovasi di seluruh Malaysia, termasuk kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Komitmen negara untuk melancarkan 5G secara cekap ditonjolkan melalui peruntukan spektrum yang optimum. Ini diterjemah kepada potensi merealisasikan manfaat-manfaat transformasi digital lebih awal daripada pasaran-pasaran baru muncul yang lain.

Satu kajian baharu yang meliputi 15 negara, yang diterajui oleh Ericsson dan dijalankan oleh firma perunding pengurusan Analysys Mason, meramalkan Malaysia berpotensi menjadi antara negara yang menerima manfaat terbesar daripada penggunaan 5G.

Rangsangan positif terhadap ekonomi dalam kajian itu adalah berdasarkan kes penggunaan 5G merentasi empat sektor, khususnya industri, logistik, luar bandar dan perkhidmatan awam. Pada masa sama, ia merangkumi industri vertikal seperti tenaga dan utiliti, pelabuhan dan penjagaan kesihatan.

Kajian itu turut mendedahkan, empat sektor tersebut yang membentuk 18.4 peratus daripada daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu merangsang peningkatan jumlah KDNK sehingga 0.38 peratus setahun.

Malah, menurut laporan yang sama, Malaysia akan merealisasikan manfaat KDNK ini lebih pantas daripada pasaran-pasaran baru muncul yang lain.

Artikel Berkaitan:


Berdasarkan infrastruktur 5G yang telah dilancarkan, manfaat ekonomi kolektif daripada empat sektor ini dianggarkan berjumlah USD 10.1 bilion menjelang tahun 2035.

Selain itu, satu laporan EY pada 2021 yang mengkaji semua sektor ekonomi di Malaysia menunjukkan pada tahun 2030, penerapan teknologi 5G akan meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak 5 peratus atau RM122 bilion. 5G dianggarkan akan mencipta hampir 750,000 pekerjaan di seluruh ekonomi serta menyumbang kepada peningkatan kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.

5G bukan sahaja memacu peluang ekonomi yang menarik, malah dapat membantu menangani perubahan iklim, meningkatkan keterangkuman dan kesejahteraan sosial, serta merapatkan jurang digital di kawasan dengan infrastruktur yang lemah. Rangkaian 5G yang kukuh juga dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon dengan menyokong digitalisasi pertanian, pengangkutan dan logistik, kilang pintar dan pembinaan.

5G merupakan satu platform inovasi tanpa batasan yang mampu memacu impak positif secara eksponen kepada masyarakat. Aplikasi pengguna baharu seperti permainan awan dan perkhidmatan perusahaan yang merangkumi kes-kes penggunaan baharu untuk digitalisasi industri, telah mewujudkan peluang perniagaan merentasi semua sektor.

Justeru, usahawan dan perusahaan di negara boleh membangunkan aplikasi baharu di atas rangkaian untuk dilancarkan di peringkat tempatan dan global, sekali gus merancakkan ekonomi dengan mencipta pekerjaan dan kemahiran baharu.

Tambahan pula, rancangan Malaysia untuk merancakkan lagi pelancaran 5G akan menggalakkan perkongsian infrastruktur yang cekap, serta meningkatkan lagi penggunaan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Pelancaran rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) yang pantas akan diterjemah kepada lebih peluang untuk pendidikan, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, lima pengendali utama sudah mampu menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka dalam hanya 14 bulan sejurus pelancaran itu.

Gabungan mantap

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson, BÖRJE EKHOLM
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson, BÖRJE EKHOLM



Berbekalkan perkembangan yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu, negara boleh meraih lebih manfaat daripada program berkenaan serta dasar-dasar yang merancakkan ekosistem 5G termasuk pelaburan asing secara langsung, bagi memacu penerapan 5G oleh pengguna dan perusahaan.

Ericsson turut memupuk satu ekosistem kukuh bagi memacu pembangunan kes penggunaan serta perkhidmatan 5G yang baharu dan inovatif kerana demi mengupayakan transformasi digital ekonomi Malaysia.

Justeru, Ericsson telah bergabung tenaga dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2015 untuk menubuhkan sebuah Pusat Inovasi 5G di Malaysia yang bertujuan memupuk pembangunan kes penggunaan 5G. Hari ini, kami telah memperluaskan kerjasama dengan DNB untuk mendidik para pelajar tentang 5G dan teknologi lain melalui platform Ericsson Educate.

Satu lagi inisiatif untuk memupuk ekosistem digital di Malaysia membabitkan kerjasama kami dengan DNB serta Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI). Kami berazam untuk menggunakan peningkatan ketersediaan 5G untuk mempercepatkan pembangunan kluster inovasi, memacu perkongsian pengetahuan yang komprehensif serta sokongan pendidikan untuk perusahaan.

Di persada teknologi global pula, Ericsson dan DNB baru-baru ini berjaya mencapai jarak rekod dunia untuk kelajuan Gigabit. Ujian itu yang dijalankan pada frekuensi gelombang milimeter (mmWave) 28GHz, mencapai daya pemprosesan puncak 1Gbps pada jarak rekod 11.18km.

Pencapaian ini membuktikan keupayaan mmWave dengan sokongan perisian jarak jauh Ericsson dalam menyediakan sambungan Internet yang bermutu tinggi dan menjimat kos di kawasan yang mana sambungan berwayar sukar dilaksanakan atas faktor ekonomi.

Dengan menyambungkan peringkat akhir kesalinghubungan melalui gelombang udara sebagai alternatif kepada gentian mahal, 5G mampu mencapai komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan luar bandar.

Bayangkan nilai yang dapat dinikmati oleh pekerja dan pelajar yang mampu bekerjasama dari jauh serta menggunakan sumber pembelajaran dalam talian! Di samping itu, ia juga akan membawa potensi besar kepada perkhidmatan perbankan dan telekesihatan, selain penyelesaian inovatif untuk agenda sekuriti makanan negara.

Ericsson dan DNB telah mencapai beberapa tonggak pencapaian sepanjang pelancaran 5G, khususnya rangkaian komersial pertama di dunia yang menggunakan Pembahagian Sumber Radio Dinamik (DRP). Ini membolehkan keenam-enam pengendali rangkaian mudah alih untuk menyampaikan perkhidmatan 5G tersuai dengan prestasi terjamin, selain membezakan tawaran mereka.

Akhir kata, kami turut berbesar hati kerana baru-baru ini, teknologi yang digunakan dalam rangkaian DNB telah diiktiraf di Anugerah Glotel berprestij, yang meraikan inovasi dan kecemerlangan dalam usaha memajukan telekomunikasi.

Ericsson telah menemani Malaysia dalam perjalanan telekomunikasi sejak tahun 1965 dan kami bertekad merancakkan lagi perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!