Pemulihan ekonomi perlu pedulikan M40

A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan pemulihan ekonomi negara memerlukan sebuah sistem ekonomi yang mempedulikan golongan M40.

Pengerusi Biro Penggunanya, Faiz Fadzil berkata, ini kerana setiap kali idea subsidi atau bantuan bersasar dibincangkan di media, golongan M40 kebiasaannya tidak diberi perhatian walaupun mereka turut terkesan akibat beban percukaian dan tidak menerima bantuan tunai seperti mana golongan B40.

Menurut Faiz, M40 dikategorikan sebagai isi rumah berpendapatan RM4,850 sehingga RM10,959 sebulan namun sebuah keluarga berpendapatan RM4,850 di Kuala Lumpur dianggap sebagai M40, sama seperti keluarga lain di Kota Bharu.

"Hakikatnya, kos sara hidup lebih menekan keluarga di kawasan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, apatah lagi jika mempunyai tanggungan yang banyak.

"M40 juga menerima tekanan sistem percukaian, di mana ramai pakar ekonomi telah mengatakan bahawa kadar cukai Malaysia tidak adil bagi sebilangan besar individu M40.

"Justeru, adalah dicadangkan agar satu lagi kategori diperkenalkan iaitu "M40 bawahan" (lower M40) yang dijangka meliputi 50 peratus isi rumah M40 dan golongan ini sepatutnya menerima manfaat sama seperti golongan B40 termasuk subsidi minyak dan Bantuan Sara Hidup," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan kerajaan juga seharusnya berdasarkan bilangan tanggungan dan lokasi tempat tinggal sesebuah isi rumah, bagi mengambil kira faktor inflasi tempatan.

Justeru, sebuah keluarga di Kuala Lumpur sepatutnya menerima bantuan tunai yang lebih tinggi dan pada masa yang sama, sistem cukai pendapatan Malaysia harus distruktur semula supaya golongan M40 bawahan ini tidak dicukai secara berlebihan.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya percaya bahawa dasar-dasar ekonomi negara akan dibuat pembaharuan supaya menjadi lebih adil dan peduli dan ini amat penting bagi kita memulihkan ekonomi negara dan mengeluarkan rakyat dari bebanan kos sara hidup," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!