Dua maut, dua cedera kereta terbabas di plaza tol
ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki maut manakala dua lagi lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas di Plaza Tol Lima Kedai di sini pada awal pagi Rabu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ronnie Robert berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 4.36 pagi.
"Seramai 14 anggota dari BBP Iskandar Puteri dan BBP Skudai dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Iskandar Puteri serta BBP Skudai telah dihantar ke tempat kejadian.
"Kemalangan ini melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbabas. Tiada mangsa yang tersepit. Pihak bomba bertindak membuat kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan khas 'rescue tools' untuk membuka pintu dan mengeluarkan kesemua mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pemandu yang masih belum dikenal pasti identitinya dan seorang penumpang di bahagian belakang, E Thiban yang berusia 25 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa katanya, R Shantihasheelan, 26, dan R Kohlilan mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pegawai perubatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ronnie menambah, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 6.10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!