Beri peruntukan saksama kepada wakil rakyat - Bersih
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan kerajaan bahawa pemberian peruntukan secara adil kepada semua wakil rakyat perlu dijadikan fokus utama dalam usaha mereformasi sistem politik dan institusi kerajaan.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan memaklumkan, keutamaan itu juga mampu menjadi asas kepada usaha merapatkan jurang besar antara kerajaan dan pembangkang selama ini.
"Peruntukan pembangunan kawasan yang saksama adalah reformasi penting untuk menjamin kestabilan politik supaya tiada parti politik yang akan menjadikannya sebagai alasan menukar kerajaan di pertengahan penggal.
"Peruntukan itu juga adalah hak rakyat dan merupakan mekanisme berkesan dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah dengan segera.
"Pemberian peruntukan yang tidak sama rata adalah satu hukuman kepada rakyat kerana memilih wakil rakyat yang tidak berpihak kepada kerajaan," kata kenyataan itu pada Rabu.
Dalam pada itu, Bersih turut menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan penggubalan undang-undang peruntukan pembangunan kawasan yang selaras di peringkat Persekutuan dan negeri serta reformasi lain yang diperlukan.
Perbincangan itu juga penting bagi mewujudkan persaingan profesional antara parti seperti pengiktirafan kabinet bayangan.
"Peruntukan ini tidak wajar diberi berdasarkan ehsan perdana menteri, menteri besar, ketua menteri atau kerajaan, sebaliknya ia perlu dikanunkan sebagai undang-undang agar siapa sahaja yang memegang tampuk kerajaan selepas ini perlu memberi peruntukan yang saksama kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kecenderungan politik.
"Kerajaan Persekutuan wajar mengikut teladan kerajaan negeri Perak yang telah mengumumkan peruntukan kepada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara sama rata dalam pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2023.
"Bersih juga menyeru negeri Perak untuk mengambil langkah seterusnya dengan mengkanunkan polisi ini agar ia tidak diubah oleh kerajaan pada masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!