[VIDEO] Menteri kena jelaskan situasi sebenar Covid-19 di Malaysia
SHAH ALAM - Pas menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa supaya tampil memberi penjelasan menyeluruh mengenai situasi sebenar potensi ancaman penularan Covid-19 di Malaysia bagi mengelakkan persepsi yang tidak benar.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan ini perlu dibuat bagi mengurangkan kebimbangan berikutan beberapa negara lain telah mengambil langkah awal untuk mengekang berlakunya penularan wabak tersebut.
“Tindakan negara China mengutuk dan mengancam tindak balas terhadap negara-negara yang mengenakan syarat ujian baharu Covid-19 terhadap warganegaranya susulan lonjakan kes harus diberi perhatian serius oleh kerajaan Malaysia.
“Kita mesti menyatakan langkah yang tegas, berani dan mengambil sikap proaktif berhubung potensi ancaman penularan wabak ini dari negara China mutakhir ini. Kebanyakan rakyat menzahirkan kebimbangan malah beberapa negara telah mengambil tindakan lebih awal dari Malaysia.
“Tambahan lagi, maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak terperinci berbanding realiti di China yang digambarkan semakin serius,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Situasi wabak membawa maut itu di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifar Covid-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.
Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak perlu lagi dikuarantin, menyebabkan ramai warganya merancang perjalanan ke luar negara.
Dilaporkan, beberapa negara luar termasuk Jepun akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!