Covid-19: Nufam gesa KKM umum SOP baharu
SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pekerja industri penerbangan khususnya kru kabin dan mereka yang bekerja di lapangan terbang susulan pembukaan penerbangan bagi pelancong dari China bermula 8 Januari ini.
Sekretariat Nufam dalam kenyataan memaklumkan, ramai ahli kesatuan tertanya-tanya mengenai SOP yang perlu dilaksanakan terutama sekali membabitkan penerbangan keluar masuk ke negara China.
"Nufam menggesa pihak KKM untuk mempertingkatkan SOP bagi pekerja di dalam industri penerbangan. Jika keperluan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan ke negara yang mempunyai kes tinggi, KKM harus memberi penjelasan mengenai SOP baru bukan hanya kepada penumpang tetapi juga kepada pekerja di lapangan terbang.
"Pada amnya, pemakaian pelitup muka perlu dilaksanakan bagi mereka yang berdepan dengan penumpang terutama sekali dari luar negara. Walaupun kes sudah reda di dalam negara, tetapi ada laporan menyatakan ia telah merebak ke negara lain," kata kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, buat masa ini terdapat kru kabin yang memilih memakai pelitup muka kerana merasa lebih selamat apabila berinteraksi dengan penumpang, namun SOP untuk golongan pekerja harus lebih jelas sebagai usaha mengelak sebarang jangkitan berlaku di tempat kerja.
Tambah kenyataan itu, syarikat penerbangan juga disaran menggalakkan pekerja memakai pelitup muka demi kesihatan diri pekerja.
"Nufam tidak mahu ada pekerja pula yang terkesan dengan kes Covid-19 apabila mereka tidak boleh bekerja dan akhirnya terpaksa dikuarantinkan di rumah.
"Kru kabin juga akan kehilangan pendapatan bulanan mereka jika mereka terpaksa dikuarantin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!