56.7 peratus rakyat Johor terima dos penggalak pertama
JOHOR BAHRU - Sebanyak 56.7 peratus rakyat negeri ini menerima dos penggalak pertama setakat Selasa.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata bagi penerima dos penggalak kedua pula, sebanyak 1.8 peratus direkodkan.
"Sebanyak 87 peratus dari populasi keseluruhan di Johor telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap, sehingga Selasa.
"Ia berbanding dos penggalak pertama iaitu sebanyak 56.7 peratus manakala dos penggalak kedua lebih rendah iaitu hanya 1.8 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.
"Perlindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 ini akan berkurang selepas tempoh masa tertentu dan bergantung kepada jenis varian semasa.
"Oleh itu, mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak terutama golongan berisiko tinggi, disarankan segera mendapatkan vaksin secara 'walk in' atau temu janji di klinik kesihatan atau hospital di negeri ini," katanya.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan telah dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.
Awal bulan lalu, China dilaporkan menamatkan dasar sifar Covid-19 bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara itu.
Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!