Penampilan semula Ronaldo di EPL sukar - Howe
NEWCASTLE United berharap pemain sensasi, Cristiano Ronaldo akan melalui masa depan yang baik bersama kelab baharunya di Arab Saudi, Al Nassr di sebalik spekulasi kapten Portugal itu akan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jurulatihnya, Eddie Howe menafikan laporan bahawa pemain berusia 38 tahun itu mempunyai klausa dalam kontrak dengan Al Nassr yang membolehkannya beraksi di Liga Juara-Juara jika Magpies berada dalam kelompok empat terbaik EPL.
Howe turut menyifatkan perpindahan bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu ke Newcastle pada masa depan sukar direalisasikan.
“Kami berharap yang terbaik buat Cristiano (Ronaldo) pada masa depan tetapi pada pandangan kami berita itu tidak benar,” kata Howe.
Ronaldo diperkenalkan oleh Al Nassr pada Selasa selepas bersetuju dengan tawaran yang dianggarkan bernilai 200 juta euro (RMRM929 juta) menerusi kontrak sehingga Jun 2025.
Dia tiba di Arab Saudi dengan reputasi hebat selepas meraih kejayaan gemilang bersama Real Madrid dari 2009-18 apabila memenangi dua gelaran LaLiga, dua Piala Sepanyol, empat gelaran Liga Juara-Juara dan tiga Piala Dunia Kelab dari 2009 hingga 2018.
Ronaldo dalam sidang media pertama selepas menyertai Al Nassr memberitahu tugasnya di Eropah sudah selesai.
Bagaimanapun laporan di Sepanyol mendakwa pemenang lima kali Ballon d'Or mula mengintai peluang untuk kembali ke EPL.
Laporan itu menyebut Ronaldo memasukkan klausa dalam kontraknya dengan Al Nassr bagi membolehkan menyertai Newcastle secara pinjaman jika mara ke Liga Juara-Juara musim depan.
Saudi Public Investment Fund yang merupakan pemilik Al Nassr turut memiliki 80 peratus saham di Newcastle.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!