Lelaki ditemukan mati bersebelahan kereta
KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 56 tahun ditemukan mati di kawasan parkir kereta di sini pada Selasa.
Kejadian itu disedari oleh orang awam pada jam 2.20 petang selepas melihat mangsa berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri bersebelahan keretanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.30 petang yang menyatakan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian.
"Tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!