Keputusan bantah semak kes Siti Bainun 13 Januari ini

Siti Bainun (tiga dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Siti Bainun (tiga dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 13 Januari ini untuk keputusan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menyemak semula pertuduhan menganiaya kanak-kanak perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam, PG Cyril yang mewakili Siti Bainun, 31, dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad selesai berhujah.

Semasa hujahan Cyril berkata, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menerima permohonan semakan itu atau sebaliknya.

“Malah Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak memperincikan cara semakan itu, perlu dibuat.

“Sementara menunggu keputusan permohonan semakan tersebut diputuskan, kami mohon prosiding kes yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis dan Jumaat, ditangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad membantah permohonan semakan dan penangguhan prosiding itu dengan alasan-alasan yang dinyatakan dalam hujahan bertulis dan afidavit yang telah difailkan.

Menurutnya, permohonan semakan tidak wajar dilakukan melalui notis usul sebaliknya melalui surat kepada mahkamah.

Mendengar hujahan itu, Sequerah kemudiannya membenarkan prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguhkan selama dua hari.

Artikel Berkaitan:

“Saya tetapkan 13 Januari ini untuk keputusan permohonan bantahan awal pihak pendakwaan,” kata Sequerah.

Penangguhan dibuat sementara menunggu keputusan permohonan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun supaya dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya disemak semula.

Sementara itu, ketika sebutan kes di Mahkamah Sesyen, Hakim Izralizam Sanusi melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan, susulan kebenaran yang diberikan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah, mengenai perkembangan keputusan bantahan awal pihak pendakwaan yang dibuat di Mahkamah Tinggi, Jumaat minggu depan.

“Semua pihak juga perlu memaklumkan mengenai lima isu termasuk memanggil semula saksi pendakwaan, saksi lain yang ditawarkan oleh pendakwaan dan penyataan saksi Siti Bainun,” katanya.

Ia membabitkan saksi pendakwaan (SP) kelima, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood, 20; SP-15, pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur dan SP-20, Pegawai Penyiasat bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Superitendan Rohaini Baharom.

Sebelum ini tarikh perbicaraan bela diri ditetapkan selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

Dalam notis usul yang difailkan pada 30 November 2022, menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan tersebut.

Dia menyatakan Izralizam tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan-pertuduhan itu yang didakwa defektif (cacat) dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.

Siti Bainun selaku pemohon mendakwa, perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November 2022 adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!