Fadhlina arah baiki kerosakan SK Cyberjaya

Fadhlina Sidek melakukan tinjauan di SK Cyberjaya pada Rabu.
Fadhlina Sidek melakukan tinjauan di SK Cyberjaya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarah mengambil tindakan segera membaiki kerosakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

Arahan tersebut dikeluarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan tinjauan ke sekolah berkenaan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil tinjauan itu banyak kerosakan didapati berlaku melibatkan kemudahan di situ.

"Sebelum ke mesyuarat kabinet hari ini saya singgah ke SK Cyberjaya untuk melihat kemudahan dan keadaan semasa aset sekolah. Saya dapati banyak kerosakan yang berlaku.

"Saya telah meminta Bahagian Pembangunan dan Bahagian Pengurusan Aset KPM untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselesaan guru-guru dan murid-murid di SK Cyberjaya," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.

Susulan perkongsian itu, beberapa pengguna Twitter membalas ciapan berkenaan menyarankan beliau agar turut memberi perhatian terhadap sekolah-sekolah di pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.

Antaranya pengguna @mzssaad yang mahu Fadhlina melihat sendiri kedaifan sekolah di Borneo.

"YB bila-bila lapang cuba rasa pergi pedalaman Sabah Dan Sarawak, rasa sendiri susah payah murid dan cikgu-cikgu di sana dan lihat sendiri kedaifan fasiliti di sana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengguna Twitter @AwatifWardina juga senada.

"YB jika dekat Putrajaya pun dah bermasalah Sabah Sarawak tak tahu la nak cakap apa patut kena pergi sana dan stay (tinggal) 2 minggu untuk tahu sedalam dalamnya masalah," katanya.

Saranan itu juga dikuatkan lagi dengan kebimbangan pengguna Twitter @azli_sam yang menyuarakan situasi yang didakwa berlaku di salah sebuah sekolah di Sarawak.

"YB... tolong tengokkan lantai SMK Muara Tuang, Kota Samarahan Sarawak, bangunan kayu dua tingkat lantai dah uzur... cikgu pun takut nak jalan takut roboh. Takat simen tu biasalah... takut juga nanti ada student yang jatuh lubang lantai kayu," tulisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!