[VIDEO] PM tidak cadang mansuh pencen bekas anggota kabinet
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan Malaysia tidak berhasrat untuk memansuhkan pencen bekas anggota kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana tindakan sedemikian tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Jadi, dakwaan (bahawa) Kerajaan Perpaduan Malaysia akan menimbang untuk hapuskan pencen atau kurangkan pencen (tidak benar).
"Itu tidak munasabah kerana isu ini menyentuh soal Perlembagaan dan ia harus diteliti dan dirujuk semua pihak," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan kerajaan yang diterajuinya akan memansuhkan pencen bekas anggota Kabinet seperti dibangkitkan beberapa pihak.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Tambun itu berkata, terdapat beberapa tindakan yang diambilnya sebelum ini hanya melibatkan pentadbiran.
Antara langkah yang diambil, Anwar menjelaskan ia membabitkan pemberian kenderaan kepada bekas menteri.
"Bekas menteri yang sebelum ini dapat kemudahan kereta semua saya batalkan. Dari segi peraturan pentadbiran ia tidak langgar Perlembagaan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!