[VIDEO] Malaysia tidak diskriminasi pelawat asing - Anwar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Di sebalik kebimbangan umum terhadap peningkatan jangkitan Covid-19, Malaysia berpendirian untuk tidak mendiskriminasi mana-mana pelawat asing termasuk China yang datang ke negara ini.
Sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelamatkan rakyat.
"Kalau kita lihat kadar jangkitan di China yang di uar-uarkan, kita juga tahu kematian di Amerika Syarikat akibat Covid-19 juga tinggi, begitu juga beberapa negara lain," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, di sini pada Rabu.
Tegas beliau, sesiapa sahaja yang masuk ke negara ini akan dikenakan pemantauan tahap kesihatan dan syarat yang sama.
"Kawalan diperketatkan tetapi tidak memilih negara seperti mana saya tahu pelawat umpamanya dari Indonesia, tetapi mungkin bulan lalu dia dari China. Hal-hal demikian begitu kompleks," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai amaran Beijing akan bertindak balas terhadap mana-mana negara yang melakukan sekatan perjalanan terhadap rakyatnya.
Anwar berkata, Malaysia tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa hanya kerana beberapa laporan.
"Tinjauan di seluruh dunia mendapati masalah tersebut adalah lebih menyeluruh," katanya.
Menurutnya, keselamatan rakyat merupakan keutamaan kerajaan pada masa ini.
"Yang penting bagi kita adalah tidak bertolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat," katanya.
Amerika Syarikat, Kanada, Perancis dan Jepun adalah antara 12 negara yang kini mewajibkan pelawat dari China menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 sebelum ketibaan.
Sementara, Magribi pula mengeluarkan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai 3 Januari berikutan peningkatan kes Covid-19.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Nin menyifatkan sekatan sebilangan negara terhadap dari pelancong negara itu adalah amalan terbabit tidak boleh diterima dan akan mengambil langkah tindak balas berdasarkan balasan setimpal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!