Anwar saran wartawan jadi contoh ambil dos penggalak
PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh mencadangkan supaya mana-mana wartawan yang belum mengambil dos penggalak supaya berbuat demikian susulan peningkatan kes Covid-19.
Ujarnya, dengan langkah yang diambil petugas media itu diharap mampu menjadi contoh kepada rakyat lain.
Antara lain katanya, ketika ini Malaysia juga mempunyai 'lebihan' vaksin Covid-19 yang banyak berikutan masih ramai yang belum mengambil dos penggalak itu.
"(Setakat ini) untuk dos penggalak hanya 49 peratus (yang telah mengambilnya). Jadi, dos yang masih ada itu sekitar enam juta (dan sebab) itu saya usulkan (kita) mula dengan wartawan yang belum ambil dos penggalak pertama untuk ambil kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menentu.
"Jadi, untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki mengambil dos penggalak kemudian disusuli dengan rakyat yang lain kerana kalau wartwan bagi contoh teladan yang baik, ia akan diikuti oleh rakyat menerusi karangan (penyampaian berita) mereka," katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Rabu.
Sidang akhbar ini turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut serta beberapa menteri kabinet antaranya Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!