Kenaikan OPR ditentukan Bank Negara - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tertakluk kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada, Bank Negara itu berhak membuat keputusan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan melalui Kementerian Kewangan boleh membincangkan perkara tersebut.
"Ikut peraturan dan undang-undang sekarang ini, (penentuan) OPR ini keputusan BNM, bukan keputusan Kementerian Kewangan.
"Saya boleh bincang tetapi itu adalah hak BNM (untuk buat keputusan)," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Rabu.
Tambahnya, dasar atau polisi monetari sememangnya di bawah pengkhususan BNM.
Sinar Harian pada Disember lalu melaporkan CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) memberi jangkaan dua lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang berikutan tekanan inflasi dijangka kekal pada tahun ini.
Menurut Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, pertumbuhan inflasi teras yang kukuh pada November tahun lalu mencerminkan keadaan permintaan domestik yang mantap pada bulan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!