Pemandu lori mabuk lawan arus direman empat hari

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemandu lori yang memandu melawan arus dan dipercayai di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada Selasa, direman selama empat hari.

Perintah tahanan reman sehingga Sabtu terhadap pemandu berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurzihan Abdul Rehman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

Reman berkenaan adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Selasa, seorang pemandu lori ditahan polis kerana memandu secara berbahaya melawan arus hingga merempuh dua buah kereta dalam kejadian di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arrifin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori tersebut dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Tanjung Pelepas.

"Apabila sampai di kawasan rehat dan rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori telah terlepas susur ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur pelabuhan tersebut.

"Lori dipandu di lorong paling kanan melawan arus bertembung dengan dua buah kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan tersebut.

"Kemalangan itu menyebabkan lelaki berusia 44 tahun yang memandu Mercedes Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!