Wisma Jakel: Punca kebakaran diketahui dalam tempoh dua minggu

Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman api di bangunan Wisma Jakel pada Ahad. (Gambar kecil: Norazam)
Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman api di bangunan Wisma Jakel pada Ahad. (Gambar kecil: Norazam)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hasil siasatan berkaitan punca kebakaran di Wisma Jakel, di sini dijangka dapat dikenal pasti dalam tempoh dua minggu selepas proses siasatan selesai dijalankan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, beberapa sampel telah diambil di lokasi kebakaran untuk dianalisa.

"Siasatan dijalankan pihak bomba di lokasi kejadian telah mengambil beberapa sampel melibatkan sisa kebakaran seperti sisa wayar, sisa kain dan peralatan elektronik.

"Kesemua sampel yang diambil ini telah dihantar ke makmal untuk dianalisa dan jika semua proses siasatan mengambil masa dalam 14 hari ini selesai, kita jangka punca kebakaran akan dapat dikenal pasti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, setakat ini beberapa individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung kejadian.

"Ada beberapa individu yang kita panggil termasuk pihak pengurusan untuk dirakam keterangan bagi proses siasatan," jelasnya.

Dalam kejadian pertama pada jam 7.08 pagi Ahad, kebakaran bangunan di Wisma Jakel itu telah mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan hampir RM100 juta.

Bagaimanapun, pada jam 12.40 tengah malam Selasa, kejadian kebakaran kedua pula berlaku membabitkan bilik simpanan kain langsir di wisma terbabit.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!