Tauke karaoke Golok dijel 3 bulan kerana rasuah polis
KOTA BHARU - Seorang tauke karaoke Golok, Thailand dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merasuah RM1,000 kepada seorang pegawai kanan polis, Februari lalu.
Hukuman diputuskan Hakim, Zaman Mohd Noor terhadap tertuduh, Ooi Boon Lai, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Boon Lai didapati menawarkan rasuah RM1,000 kepada Ketua Balai Polis Rantau Panjang, Asisten Superintendan Mohd Sany Husin sebagai dorongan membebaskan seorang warga Thailand, Jukkrapan Sansungwan yang ditahan bersama 36 karton minuman keras di Bilik Ketua Polis Rantau Panjang, Pasir Mas antara jam 2.30 pagi hingga 5 pagi, pada 14 Februari 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika kesalahan itu boleh diseksa dengan penjara tidak sampai 10 tahun hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 1/4 daripada tempoh penjara yang lama sekali yang diperuntukkan bagi kesalahan itu atau denda atau kedua-duanya.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!