Bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa rasuah, AMLA

Tertuduh menghadapi 37 pertuduhan rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan AMLA hampir RM940,000, tujuh tahun lalu. - Gambar hiasan
Tertuduh menghadapi 37 pertuduhan rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan AMLA hampir RM940,000, tujuh tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas 37 pertuduhan rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) hampir RM940,000, tujuh tahun lalu.

Mohd Amal M Razalan, 36, membuat pengakuan itu selepas 37 pertuduhan kes rasuah dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-21, Mohd Amal didakwa melakukan kesalahan itu dalam 21 transaksi berbeza daripada seorang pengarah syarikat, sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kontrak ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services’.

Bagi tiga pertuduhan lain, dia dituduh atas kes sama melalui tiga transaksi daripada seorang pengurus projek, bagi menyemak dan mempersetujui dokumen ‘Job Completion Ticket’ (JCT).

Baki 13 pertuduhan lagi, dia didakwa menerima rasuah daripada pengurus projek sama melalui cek ke akaun sebuah syarikat atas persubahatan pengarah syarikat sama, iaitu mempersetujui JCT bagi kontrak sama untuk Operasi Sarawak.

Kesemua kesalahan dilakukan di Maybank Berhad, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini, antara 21 Disember 2016 hingga 1 Ogos 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta itu.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, disenarai hitam daripada keluar negara serta melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya, sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Februari depan.

Bagi enam pertuduhan AMLA di hadapan Hakim Azura Alwi, tertuduh tidak mengaku bersalah iaitu lima menerima dan satu menggunakan wang berjumlah RM939,334.10, bermula enam tahun lalu.

Bagi lima pertuduhan AMLA, dia didakwa menerima RM798,985.49 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui empat akaun bank milik seorang lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 35 tahun, daripada dua akaun Maybank Berhad milik dua syarikat.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Berhad Petronas Twin Tower, Jalan Ampang dan Dataran Maybank di sini serta Public Bank Berhad cawangan Mont Kiara dan Jalan Genting Kelang, di sini antara 13 Julai 2017 hingga 15 Mac 2022.

Bagi satu lagi pertuduhan AMLA, dia didakwa telah menggunakan wang berjumlah RM140,348.61 melalui dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya, daripada akaun Maybank Berhad milik sebuah syarikat di CIMB Bank Berhad Jalan Pantai Baru, di sini pada 22 Mac 2021 dan 18 Mac 2022.

Keenam-enam pertuduhan itu dibuat mengikut subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan kes itu disebut semula pada tarikh sama.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzammil Merican.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!