Lelaki ditahan bersama heroin di hutan paya bakau
SABAK BERNAM - Polis merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 43.46 gram dalam serbuan Op Sarang di hutan paya bakau, Sungai Besar di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, rampasan dadah bernilai RM1, 300 dilakukan selepas serbuan diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli bersama anggotanya pada jam 8.40 malam.
"Ketika serbuan di port penagihan itu, kita menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 34 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan polis menjumpai beg bimbit mengandungi empat peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.
Nor Azmi berkata, pemeriksaan air kencing juga mendapati suspek positif morfin dan dia kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 26 April ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!