Tiga ditahan, vape bernilai RM1.55 juta dirampas

Kamarul Zaman melihat vape yang dirampas pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua pada Rabu.
Kamarul Zaman melihat vape yang dirampas pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya merampas cecair vape, peranti serta aksesori rokok elektronik bernilai RM1.55 juta susulan penahanan tiga individu di sebuah premis di Taman Eko Perniagaan, pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 25 tahun itu ditahan menerusi serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek adalah pekerja dan penjaga premis vape yang menjual pelbagai jenis cecair vape dan peranti serta aksesori rokok elektronik.

"Rampasan membabitkan 2,753 kotak berisi 53,421 pek pelbagai jenis cecair vape dan peranti rokok elektronik.

"Kesemua nilai rampasan bernilai RM1.55 juta membabitkan cecair vape (RM1.29 juta), peranti dan aksesori rokok elektronik (RM253,048), dengan kesemua barangan berkenaan dijual di premis selain secara dalam talian," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar dan Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Menurut Kamarul Zaman, sebarang penjualan cecair dan peranti vape tidak dibenarkan dijual oleh oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia telah digazetkan sebagai kesalahan di negeri ini.

Difahamkan, cecair vape yang dirampas itu mengandungi kandungan nikotin yang melebihi daripada dibenarkan menerusi Akta Racun sekali gus membahayakan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek tiada rekod lampau atau disenaraikan dalam senarai orang dikehendaki.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!