Kes rogol remaja: Polis Kedah lakukan siasatan telus
ALOR SETAR - Polis Kedah akan menjalankan siasatan secara telus membabitkan kes pegawai polis yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, laporan berkaitan kejadian rogol itu diterima pada 1.31 pagi Ahad lalu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 28 Disember tahun lalu pada 6.25 petang membabitkan seorang pegawai kanan polis yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.
“Mangsa adalah pengadu bagi kes tersebut manakala pegawai penyiasat terbabit adalah suspek bagi kes itu.
"Polis Kedah memberi jaminan siasatan yang telus, adil dan saksama akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wan Hassan berkata, siasatan dilakukan oleh pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, suspek sudah ditahan serta direman bagi membantu siasatan sehingga 5 Januari (Khamis)," katanya lagi.
Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah pada kadar segera agar penjenayah terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Pelaku akan dibawa ke muka pengadilan walaupun merupakan warga PDRM tanpa kompromi. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.
Wan Hassan berkata, polis sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi penguat kuasa utama negara bagi memastikan kes diselesaikan dengan segera.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti PDRM atau mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Mereka juga disaran memberi kerjasama dan membantu polis membanteras perlakuan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian mers 999 atau hubungi mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya lagi.
Pada Isnin lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa rogol pegawai berpangkat Inspektor ketika berada di sebuah IPD di negeri ini.
Laporan polis berkenaan dibuat remaja berusia 16 tahun pada Sabtu lalu yang mendakwa dirogol ketika berada dalam bilik pejabat pegawai terbabit selepas diminta hadir untuk soal siasat kes membabitkan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!