JKMPay: Kementerian buat keputusan selepas kajian dibentang
PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuat keputusan segera sama ada Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay akan diteruskan ataupun tidak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu akan dibuat selepas mendengar pembentangan kajian mengenai keberkesanan projek itu pada Januari 2023.
Menurut Nancy, beliau dimaklumkan kementerian telah membuat kajian dan hanya menunggu laporan kurang daripada sebulan lagi.
"Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan mengenai perkara itu. Apa yang kita hendak buat adalah melihat dari segi manfaat sama ada secara tunai ataupun tidak.
"Ada tidak bersetuju dan ada bersetuju, jumlah peratusan kedua-duanya adalah sama banyak. Jadi kita lihat mana yang lebih baik," ujarnya pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Bersama Warga KPWKM di sini.
Media melaporkan, Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan agar kementerian berkenaan memansuhkan Program Pembayaran Bantuan Bulanan JKM tanpa tunai atau JKMPay.
Ia berikutan program tersebut menyukarkan penerima untuk membuat pembelian menggunakan kaedah itu.
JKMPay mula dilaksanakan melalui projek rintis pada Februari 2021 yang melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor, antara lain bertujuan membantu menerima untuk mengurus serta mengawal perbelanjaan wang bantuan secara berkhemah.
Tambah Nancy, tiada masalah untuk memperbaharui atau meminda demi memberi manfaat kepada penerima.
"Bagaimanapun, ia pasti akan mengambil masa kerana melibatkan sistem tertentu yang perlu dilakukan.
"Kita tidak tahu memandangkan kita bukan sebahagian daripada mereka. Jadi kita dengar pendapat mana yang diperlukan oleh golongan ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!