Kanak-kanak lelaki melecur gara-gara bermain api

Kesan lecur pada bahagian badan mangsa.- Foto PDRM
Kesan lecur pada bahagian badan mangsa.- Foto PDRM
A
A
A

PONTIAN - Seorang kanak-kanak lelaki melecur hampir keseluruhan badannya akibat bermain api pada timbunan sampah berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kuchi, pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, setelah lima hari berlalu mangsa yang berusia sembilan tahun itu tidak dibawa ke hospital oleh ibu bapanya bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, perkara itu terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada kenalan ibu mangsa yang tidak berpuas hati kerana kanak-kanak terbabit dibiarkan tanpa menerima rawatan dan lukanya semakin teruk serta berbau.

"Rakan ibu mangsa mengetahui keadaan kanak-kanak itu melalui gambar yang dikongsi di kumpulan WhatsApp keluarga pada Selasa. Pengadu melawat mangsa dan menasihatkan ibu bapa kanak-kanak terbabit agar membawanya ke hospital.

"Pengadu seterusnya bertindak membuat laporan polis akibat tidak berpuas hati dengan ibu bapa mangsa yang membiarkan anaknya tanpa menerima rawatan meskipun kejadian sudah lima hari berlalu," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mohammad Shofee berkata, ibu bapa mangsa yang berusia 36 dan 33 tahun itu telah ditahan pada jam 2 pagi Rabu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Hasil siasatan awal terhadap ibu kandung mangsa mendapati kanak-kanak itu bersama adik lelakinya yang berusia empat tahun bermain api pada timbunan sampah dengan membaling bekas telur ke dalam api.

"Semasa kejadian ibu mangsa berada di dalam rumah dan terdengar bunyi letupan di luar rumah. Ibu mangsa nampak kelibat mangsa berlari dalam keadaan baju dan seluarnya terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah.

Artikel Berkaitan:

"Bapanya telah membantu memadamkan api pada baju mangsa dan membawa mangsa masuk ke dalam rumah. Ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit dan ubat sapu di sebuah farmasi namun tidak membawanya ke hospital," katanya.

Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa menaiki ambulan ke Hospital Pontian dan kemudian ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil pemeriksaan awal daripada pegawai perubatan yang merawat mangsa mendapati terdapat beberapa kesan terbakar dan melecur di bahagian sendi serta beberapa anggota badan seperti bahagian kanan badan hingga ke kaki, bahagian lengan kiri, kedua-dua bahagian dalam peha dan bahagian telinga kanan.

"Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil manakala ibu bapa mangsa telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu selepas diambil keterangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!