MPS sita barang penjaja haram warga asing
KUALA LUMPUR - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan sitaan barang jualan penjaja warga asing yang masih berdegil berniaga secara haram di kawasan Jalan Besar Selayang Baru dalam satu operasi pada Selasa.
MPS dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Seksyen UUK 3 Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
"MPS meneruskan usaha membanteras penjaja warga asing yang didapati masih berdegil dan berniaga di atas petak parkir berhadapan kedai-kedai runcit sekitar kawasan Jalan Besar Selayang Baru.
"Sebanyak 45 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran, empat bakul kelapa serta beberapa alatan seperti meja, penimbang dan payung milik penjaja warga asing disita Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS pada Selasa.
"Kesemua penjaja warga asing itu dikenakan tindakan kerana didapati menjalankan perniagaan di kawasan petak parkir sehingga menimbulkan isu kacau ganggu, kebersihan dan juga kesesakan di sekitar kawasan tersebut," kata kenyataan itu pada Rabu.
Dalam pada itu, MPS memandang serius isu berkenaan dan akan terus melakukan pemantauan dan menjalankan operasi bersepadu dari masa ke masa.
"Semua peniaga dan penjaja kuga diingatkan untuk menjalankan aktiviti masing-masing dengan permit serta lesen sah dari MPS selain memastikan aspek kebersihan kawasan sekitar dijaga dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!